Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol.
Arena bola sepak negara dikejutkan dengan berita yang dikongsikan sendiri Haresh di X pada 25 November lalu.
Beliau dipukul oleh dua individu yang tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan kecil. Haresh kemudiannya membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Susulan itu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi mengecam sekeras-kerasnya insiden tersebut.
Beliau turut menganggap insiden tersebut bukan saja tidak boleh diterima. Malah, ia juga berlawanan dengan semangat kesukanan dan integriti yang diperjuangkan badan induk itu.
“FAM mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap mana-mana individu, termasuk para wartawan yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan negara.
“FAM juga ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan tidak mencerminkan semangat kesukanan serta nilai integriti yang diperjuangkan oleh badan induk ini.
“FAM berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Yusoff turut memaklumkan FAM akan terus bekerjasama rapat dengan pengamal media dalam mewujudkan ruang selamat, profesional dan saling menghormati diwujudkan dalam kalangan pemegang taruh industri sukan negara.