Persiapan wakil Thailand, Bangkok United menentang pasukan Selangor dalam aksi ke-5 saingan Liga Juara-Juara Asia 2 musim ini sedikit terjejas dengan beberapa perkara.
Hal ini berikutan selepas ketibaan semula pemain ke kelab dari aksi FIFA Day yang menyebabkan beberapa pemain mengalami kecederaan.
Setakat ini, Bangkok United mengumpul 9 mata selepas 4 perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 musim ini selepas mencatatkan 3 kemenangan dan satu keputusan kalah.
Bangkok United berjaya menumpaskan Selangor dalam aksi pertama ACL 2 dan turut membenam Lion City Sailors dalam dua aksi di tempat sendiri & halaman lawan.
Bangkok Angels hanya tumpas kepada pasukan Persib Bandung dalam aksi ke-2 ACL 2 pada 1 Oktober lepas dengan keputusan 0-2.
Sementara itu, Selangor tidak berjaya mengutip sebarang mata selepas 4 aksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 musim ini selepas tewas kepada Bangkok United, Lion City Sailors dan 2 perlawanan bertemu wakil Indonesia, Persib Bandung.
Menurut ketua jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan, beberapa pemain Bangkok United tidak berapa di tahap terbaik untuk diturunkan ketika aksi menentang The Red Giants selepas FIFA Day.
“Selepas berehat untuk FIFA Day, kebanyakan pemain sudah kembali cergas sepenuhnya tetapi masih ada yang belum bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.”
Tambah beliau, dua kemenangan sebelum ini memberikan motivasi terbaik bagi menumpaskan pasukan Selangor.
“Keyakinan daripada dua perlawanan sebelum ini, apabila kami menewaskan Lion City Sailors di tempat sendiri dan tempat lawan, memberikan motivasi besar kepada pasukan,” kata Totchtawan Sripan sebelum aksi bertemu Selangor.
Bangkok United bakal berdepan cabaran pasukan Selangor dalam aksi ke-5 saingan Liga Juara-Juara Asia 2 musim ini di halaman sendiri pada 26 November.