FAM Tolak Rayuan Selangor
MakanBola
Selangor FC

Jawatankuasa rayuan FAM telah menolak permohonan Selangor terhadap hukuman yang dikenakan sebelum ini.

Pada 14 November lalu, Selangor FC telah dikenakan denda oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sebanyak RM100 ribu dan perlu beraksi tanpa penonton di Stadium MBPJ sebanyak dua perlawanan Piala FA.

Hukuman itu dikenakan setelah menilai pelbagai insiden yang berlaku dalam aksi suku akhir bertemu Negeri Sembilan pada 29 Oktober lalu melibatkan penyokong Selangor dan tetamu kenamaan.

Walau bagaimanapun, Selangor FC tampil dengan kenyataan pada 17 November lalu untuk menjelaskan insiden sebenar yang berlaku di samping akan membuat rayuan kepada FAM.

Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FAM menerusi satu kenyataan pada Rabu selepas mesyuarat bersidang bagi membincangkan perkara terbabit.

“Rayuan Selangor FC terhadap hukuman yang dikenakan selepas didapati bersalah berhubung kes membabitkan kelakukan penyokong mereka dan kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran pada perlawanan Suku Akhir 2 Piala FA 2025-2026, Selangor FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu, 29 Oktober 2025, telah ditolak,” umum FAM dalam satu kenyataan.

Oleh itu, hukuman dua perlawanan tanpa penonton semasa aksi separuh akhir Piala FA menentang Sabah pasa Ahad ini dan perlawanan pertama Piala FA musim akan datang akan dikekalkan.

Hukuman denda berupa wang sebanyak RM100 ribu turut tidak berubah seperti mana diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada pertengahan November lalu.