Malaysia memberi tentangan sengit sebelum tewas tipis di tangan India dalam aksi terbaru Sultan Azlan Shah Cup (SASC).
The Speedy Tigers semakin bersemangat selepas menewaskan Kanada 3-2. India pula mahu bangkit selepas tewas kepada Belgium.
Azrai Aizad Abu Kamal diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan Malaysia. Karthi Selvam pula menjadi taruhan Men in Blue sebagai sandaran gol mereka.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad negara ketinggalan seawal minit ketujuh. Selvam tidak berdepan masalah mencipta gol padang yang menewaskan Hafizuddin Othman.
Men in Blue kemudiannya tersentak apabila gawang mereka dibolosi lima minit selepas itu. Pukulan penalti Faizal Saari terkena topeng muka Pawan Malik sebelum masuk ke dalam gawang.
India bernasib baik apabila tidak dibolosi pada minit ke-15. Nik Aiman Nik Rozemi terlepas peluang menyempurnakan hantaran pantas Fitri Saari meskipun berada di depan gol.
Sebaliknya, Men in Blue sekali lagi di hadapan menerusi Sukhjeet Singh. Penyerang Punjab National Bank itu tidak dikawal sebelum menewaskan Hafizuddin pada minit ke-20.
Malaysia berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Sarjit Singh terus memberi tekanan kepada India untuk memburu gol penyamaan.
Hasilnya, giliran Fitri Saari menyamakan kedudukan pada minit ke-36. Meskipun dikepung beberapa pemain India, Fitri berjaya menewaskan Pawan untuk gol kedua skuad negara.
Amit Rohidas kembali meletakkan India di hadapan menerusi pukulan penalti pada minit ke-39. Kapten, Marhan Abd Jalil menyamakan kedudukan buat kem negara enam minit selepas itu.
Men in Blue kemudiannya dianugerahkan penalti stroke pada minit ke-53. Penalti itu mudah disempurnakan Sanjay Rana yang menewaskan Hafizuddin.
India mempertahankan keputusan 4-3 sehingga tamat perlawanan. Malaysia kini perlu bangkit dalam aksi seterusnya menentang Belgium pada 26 November ini.
India berpeluang melonjak ke kedudukan dua pasukan teratas apabila turun menentang New Zealand pada hari yang sama.