Tiga perkara mencuri perhatian tatkala kelab Australia, Melbourne City menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad kendalian Xisco Munoz terlepas peluang untuk meraih tiga mata penting di tempat lawan susulan kekalahan 2-0 pada aksi kelima AFC Champions League Elite (ACLE).
Harimau Selatan kelihatan merindui sentuhan pemain sayap sensasi, Arif Aiman Hanapi yang tidak beraksi akibat kecederaan.
Tonggak berusia 23 tahun itu berada dalam kesebelasan utama JDT ketika menang dua aksi di pentas ACLE 2025-26, masing-masing menentang Chengdu Rongcheng (2-0) dan juga Shanghai Shenhua (3-1).
Perlawanan menentang Melbourne City menyaksikan juara bertahan Liga Super itu menggandingkan duo penyerang Brazil, Bergson dan Jairo Da Silva buat kali ketiga berturut-turut.
Duo ini beraksi cemerlang apabila membawa pasukan menang ke atas Kuching City (2-1) dan Melaka FC (7-1), namun tidak berpeluang untuk mengulangi prestasi sama ketika beraksi menentang jaguh Australia itu.
JDT juga tidak menjaringkan gol buat kali pertama daripada 10 perlawanan selepas kali terakhir berdepan Machida Zelvia (0-0).
Sungguhpun begitu, beberapa pemain JDT kekal mempamerkan persembahan dominan atas padang termasuklah pemain berpengalaman, Natxo Insa.
Tonggak berusia 38 tahun itu menerima penilaian setinggi 7.0 oleh laman Sofascore – bersama-sama Eddi Israfiloy dan juga Andoni Zubiaurre.
Aksi seterusnya menyaksikan JDT bakal melayan tentangan Kuching City FC bagi aksi separuh akhir kedua Piala FA pada 29 November 2025.