Kemboja membuat kejutan dengan menarik diri daripada acara bola sepak lelaki dan wanita Sukan SEA 2025.
SEAsia Goal melaporkan keputusan tersebut dibuat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja atas faktor keselamatan.
Ini susulan ketegangan membabitkan sempadan kedua-dua negara yang tercetus antara Kemboja dan Thailand sejak beberapa bulan lalu.
Selain itu, Kemboja juga mengambil kira situasi banjir yang berlaku di Thailand terutama di Songkhla. Ini kerana Songkhla merupakan lokasi penganjuran beberapa acara Sukan SEA 2025 termasuk bola sepak.
Isu sama menyebabkan Thailand dilaporkan mengambil keputusan memindahkan semua acara sukan di Songkhla ke Bangkok.
Selain bola sepak, Kemboja juga menarik diri daripada menyertai lapan lagi acara sukan. Ini bermakna negara itu hanya akan menyertai 13 acara dalam Sukan SEA 2025.
Keputusan ini bakal mendorong Persekutuan Sukan SEA membuat undian baru untuk pasukan bola sepak yang bertanding. Ini kerana Kumpulan A hanya mengandungi dua pasukan iaitu Thailand dan Timor Leste.