Datuk Ong Kim Swee mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab Indonesia, Persik Kediri.
Pengumuman ini dibuat pengurusan Macan Putih menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
Persik turut memaklumkan aksi menentang Semen Padang yang berlangsung pada hari ini sebagai aksi terakhir Kim Swee bersama pasukan itu.
“Persik Kediri rasmi berpisah dengan ketua jurulatih, Ong Kim Swee. Perlawanan petang ini menjadi perlawanan terakhir Macan Putih yang dipimpinnya musim ini.
“Terima kasih dan sukses selalu untuk perjalanan berikutnya, Coach,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Kim Swee turut memberi bayangan aksi menentang Semen Padang merupakan aksi terakhirnya sebagai jurulatih Persik.
“Satu lagi perlawanan di Kediri esok. Satu tahun dalam bola sepak Indonesia, banyak pengajaran. Ada yang kuat, ada yang halus.
“Bagi yang percaya, terima kasih. Bagi yang masih tidak percaya, anda memberi dorongan kepada saya lebih daripada itu,” katanya di Instagram Story.
Berita ini dijangka menghangatkan spekulasi kelab mana yang bakal menjadi destinasi beliau yang seterusnya.
Sebelum ini, Kim Swee menafikan beliau mendapat tawaran daripada pasukan Pantai Timur, Terengganu FC.