Lima pemain Malaysia B-23 bakal terlepas aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA 2025 menentang Laos.
Hal ini dinyatakan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom semasa membuat tinjauan sesi latihan pasukan itu baru-baru ini.
20 daripada 25 pemain yang dipanggil jurulatih, Nafuzi Zain sudah melapor diri untuk kem latihan Malaysia B-23.
Meskipun begitu, lima atau enam pemain berpotensi terlepas aksi menentang Laos. Ini kerana mereka perlu memenuhi komitmen Liga Super bersama pasukan masing-masing.
Nafuzi mengakui persiapan skuad negara untuk menghadapi Sukan SEA sedikit terjejas tanpa kehadiran skuad penuh.
“Persiapan kita sedikit terjejas kerana kita tahu Liga Super tengah berlangsung. Dan ada juga beberapa perlawanan yang membabitkan pemain kita.
“Mungkin ada beberapa pemain kita yang akan terlepas untuk aksi pertama Sukan SEA nanti untuk menyertai Liga Super,” katanya.
Antara nama yang berpotensi tiada untuk aksi tersebut ialah Ubaidullah Shamsul Fazili, Fergus Tierney, Muhammad Abu Khalil, Haqimi Azim Rosli dan Aliff Izwan Yuslan.
Ini kerana aksi terbaru Liga Super bakal berlangsung pada 7 Disember ini, tiga hari selepas aksi pertama skuad negara dalam Kumpulan B.
Atas sebab itu, Nafuzi mengharapkan kerjasama semua kelab untuk melepaskan pemain yang dipanggil agar dapat memperkuat kempen Sukan SEA 2025.
“Kita harap pelepasan pemain dari kelab-kelab sangat penting untuk kita buat persiapan,” ujarnya.
Selain aksi menentang Laos, Malaysia B-23 dijadual bertemu Vietnam pada 11 Disember ini. Juara Kumpulan A, B dan C serta naib juara terbaik akan layak ke separuh akhir.