Gavin Lee kini memikul tugas sebagai jurulatih tetap Singapura.
Pelantikan bekas jurulath Tampines Rovers itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi badan induk itu.
Lee dilantik sebagai pengganti tetap jurulatih Jepun, Tsutomu Ogura selepas membimbing Singapura layak ke Piala Asia 2027.
“Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah menamakan Gavin Lee sebagai Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Kebangsaan Singapura.
“Pelantikan ini dibuat selepas seminggu jurulatih berusia 35 tahun itu merencana kemenangan 2-1 ke atas Hong Kong dalam Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 November sebagai jurulatih interim.
“Keputusan itu menyaksikan The Lions layak ke kejohanan berprestij di Asia itu secara merit buat kali pertama,” kata FAS dalam satu kenyataan.
Pelantikan ini sekaligus menamatkan desas-desus tentang kedudukan Lee bersama The Lions. Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan dengan kerusi panas itu seperti Harry Kewell, Fabio Cannavaro dan Jesus Casas.
Sebaik pelantikan beliau disahkan, Lee menyifatkan ini sebagai penghormatan membimbing skuad kebangsaan Singapura.
“Saya mula melatih skuad Bawah 4 (lelaki dan perempuan) dan sekarang diberi kepercayaan bersama skuad kebangsaan merupakan satu penghormatan.
“Ia satu penghormatan yang saya ambil serius dan saya harap dengan komitmen dan kerja keras, peluang seperti boleh dicapai,” katanya.
Lee turut mendedahkan beliau berhubung dengan Ogura selepas membantu Singapura layak ke Piala Asia 2027.
“Selepas wisel tamat permainan ditiup, panggilan pertama yang saya buat ialah isteri saya, selepas itu beliau (Ogura).
“Saya mahu berterima kasih kepada beliau kerana menjadi sebahagian daripada pengembaraan ini. Saya tak fikir kita akan layak tanpa usaha awal yang membawa kita di laluan ini,” ujarnya.
Lee menjadi jurulatih tetap tempatan pertama yang membimbing Singapura sejak era V. Sundramoorthy pada tahun 2016.