Sebuah portal Singapura mendedahkan legenda Liverpool, Steven Gerrard antara nama yang pernah dicanang sebagai calon jurulatih baharu pasukan itu.
Portal The Monitor melaporkan nama Gerrard antara 20 jurulatih yang ditemu duga Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai calon pengganti Tsutomu Ogura.
Selepas Ogura meletak jawatan atas sebab peribadi pada akhir Jun lalu, FAS menggerakkan usaha mencari jurulatih baharu. Sementara itu, penolong beliau, Gavin Lee dilantik sebagai jurulatih interim.
Selain Gerrard, bekas rakan sepasukan beliau di Liverpool, Harry Kewell, Fabio Cannavaro, Jesus Casas dan Nick Montgomery turut dikaitkan dengan kerusi panas itu.
Walau bagaimanapun, usaha tersebut dilihat tidak berhasil. Ini kerana Gerrard memilih untuk kekal di Bahrain selepas meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.
Selain itu, beliau juga baru bergelar datuk. Ini selepas anak perempuannya, Lilly-Ella melahirkan seorang anak perempuan bernama Lila Grey.
Sebab sama juga yang mendorong Gerrard menolak peluang menjadi jurulatih kelab gergasi Scotland, Rangers pada Oktober lalu.
Pada akhirnya, FAS memilih melantik Lee sebagai pengganti tetap Ogura. Ini selepas beliau membantu The Lions layak ke Piala Asia 2027 secara merit buat kali pertama.
Keputusan ini turut menyaksikan Lee menjadi jurulatih tempatan pertama dilantik sebagai jurulatih Singapura sejak tahun 2016. Tahun itu menyaksikan legenda Singapura, V. Sundramoorthy dilantik sebagai pengendali The Lions.