Imanol Machuca & Velez Sarsfield Bakal Berpisah
MakanBola
Velez Sarsfield

Jodoh pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca dan Velez Sarsfield dilaporkan bakal berakhir tidak lama lagi.

Ketika ini, nama Imanol Machuca antara yang terpalit dengan kes pemalsuan dokumen oleh FIFA yang membuatkan beliau dan 6 lagi tonggak warisan Harimau Malaya digantung oleh badan induk dunia itu.

Kes yang menggemparkan ini turut memberi kesan kepada perjalanan karier kesemua 7 pemain ini termasuklah Imanol Machuca sendiri selepas beliau tidak lagi beraksi sejak dua bulan lalu.

Imanol yang dipinjamkan dari Fortaleza ke Velez Sarsfield telah mengharungi musim cemerlang di Argentina apabila berjaya merangkul dua trofi pada Julai dan September lalu.

Sungguhpun begitu, menurut laporan Sabado Velez, kontrak pinjaman Imanol Machuca bersama kelab Argentina itu tidak akan disambung yang menyaksikan beliau akan kembali ke Fortaleza.

Kontrak pinjaman pemain berusia 25 tahun itu bakal tamat pada 31 Disember hadapan dan Velez Sarsfield sudah pun memutuskan untuk tidak mendapatkan beliau secara tetap.

“Hampir pasti bahawa Imanol Machuca tidak akan bersama Vélez pada musim 2026,” lapor Sabado Velez.

“Pinjamannya akan tamat pada 31/12 dan selepas itu dia perlu kembali ke Fortaleza.”

El Fortín tak akan mengaktifkan pilihan pembelian tetap dan pemain tersebut masih perlu menyelesaikan situasi undang-undangnya.”

Untuk rekod, Imanol Machuca telah membuat 23 penampilan bersama Velez Sarsfield sejak hadir secara pinjaman pada 13 Januari lalu dan menyumbang satu gol beserta satu bantuan jaringan.