Malaysia mempamerkan tentangan luar biasa sebelum tewas kepada Korea Selatan 4-3 dalam aksi terbaru Sultan Azlan Shah Cup (SASC).
Malaysia mahu bangkit selepas dibelasah Belgium 9-1 dalam aksi sebelumnya. Korea Selatan turut membawa misi sama selepas tewas 3-2 kepada Kanada.
Faizal Saari terus menjadi pilihan Sarjit Singh untuk mengetuai jentera serangan. Yang Ji-hun terus memikul tugas sebagai kapten Korea Selatan.
Gawang The Speedy Tigers yang dikawal Hafizuddin Othman bocor sebanyak dua kali dalam tempoh lima minit.
Oh Se-yong membuka tirai jaringan buat Korea Selatan pada minit keempat. Seminit kemudian, giliran Park Cheol-eon pula menggandakan kelebihan pasukan gergasi Asia itu.
Malaysia cuba bangkit untuk mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Malaysia berusaha mengurangkan defisit gol menerusi jentera serangan diketuai Faizal tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, Ji-hun menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-47 untuk menambah kelebihan gol Korea Selatan.
Kem The Speedy Tigers kembali ceria apabila dua gol dijaringkan dalam tempoh dua minit. Faizal dan Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing menyumbat gol pada minit ke-54 dan 55.
Azrai Aizad sekali lagi menceriakan penyokong di Ipoh menerusi gol kedua pada minit ke-58. Korea Selatan meraih gol kemenangan seminit selepas itu.
Meskipun tewas, Malaysia akan berentap dengan New Zealand untuk penentuan tempat ketiga/keempat. Korea Selatan pula akan menentang Kanada untuk penentuan tempat kelima/keenam.