Oliver Kahn Idola Khairul Fahmi
MakanBola
FCBM/SFC

Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat memilih legenda Jerman, Oliver Kahn sebagai idola.

Hal ini dinyatakan penjaga gol Sabah FC itu apabila ditanya siapa figura yang menjadi inspirasi kepada kariernya sebagai penjaga gol.

Khairul Fahmi yang mesra disapa Apek menyifatkan Kahn cukup disegani kerana memiliki personaliti tegas dalam menyelia pertahanan baik di peringkat kelab mahupun bersama Jerman.

“Cara dia atur pemain atas padang itu. Saya tahu dia banyak menyelamatkan bola (untuk pasukan). Kalau tak, takkan dia main untuk Bayern (Munich) dan Jerman,” katanya semasa menjadi tetamu Borak Borak Botak.

Khairul Fahmi turut menyifatkan personaliti Kahn mirip dengan personaliti penjaga gol legenda Kelantan, Halim Napi.

Malah, beliau juga pernah menimba pengalaman bersama bekas penjaga gol Kelantan itu selama dua musim.

“Atas padang, keras. Dalam padang, tengok muka sudah takut tapi luar padang, dia baik sebenarnya,” ujarnya.

Sejak beraksi pada 2007, Khairul Fahmi sudah melakar beberapa pencapaian termasuk Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA. Beliau turut membantu Harimau Malaya muncul juara ASEAN Championship 2010.