Impian Malaysia B-16 untuk beraksi di pentas Asia tidak kesampaian apabila Vietnam menjadi halangan terakhir.
Saingan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia B-17 melabuhkan tirainya pada Ahad dengan 3 perlawanan berlangsung amat sengit membabitkan 6 negara termasuklah aksi Vietnam vs Malaysia.
Anak-anak didik Javier Jorda Ribera turun berdepan cabaran getir Vietnam yang beraksi di gelanggang sendiri selain turut masih belum kalah dan dibolosi selepas 4 perlawanan dilalui.
Kualiti yang dimiliki Vietnam B-16 jelas terbukti apabila skuad muda negara terpaksa akur menerima kekalahan 4-0 selepas dua gol di setiap babak memberikan kemenangan untuk tuan rumah itu.
Kekalahan ini meletakkan Malaysia di kedudukan kedua carta kumpulan C pusingan kelayakan setelah mengumpul 12 mata hasil 4 kemenangan dan sekali tewas sekaligus terlepas slot ke Piala Asia B-17.
Manakala, Vietnam pula meraih 15 mata maksimum setelah menang kesemua 5 perlawanan yang membolehkan skuad bimbingan Christiano Roland melangkah ke pentas Asia B-17 tahun hadapan.