Malaysia Terlepas Tiket Ke Piala Asia B-17, Tewas Kepada Vietnam
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia terlepas peluang layak ke Piala Asia B-17 2026 apabila tewas kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan C.

Selepas kedua-dua pasukan masing-masing meraih 12 mata selepas empat perlawanan, aksi ini dilihat penentu pasukan mana akan layak ke Piala Asia B-17 2026.

Penjaring terbanyak Piala Belia 2025, Arayyan Hakeem Norizam menggalas tanggungjawab sebagai kapten skuad negara untuk aksi ini.

Malaysia bernasib malang apabila dibolosi seawal minit keempat menerusi Nguyen Manh Cuong.

Tersentak, anak buah Javier Jorda Ribera cuba bangkit memburu gol penyamaan menerusi gandingan Arayyan, Iman Danish Mohd Shukor dan Iman Irfan Muhammad Hapis.

Malangnya, gol yang dicari tidak muncul. Sebaliknya, Vietnam menggandakan kelebihan mereka sebelum rehat menerusi Nguyen Ngoc Anh Hao.

Bersambung pada babak kedua, Vietnam semakin ghairah memburu gol tambahan dibantu dengan sokongan padu penyokong di Stadium PVF.

Empat minit selepas perlawanan bersambung, tuan rumah makin selesa mendahului menerusi Nguyen Huynh Dang Khoa.

Le Sy Bach menambah derita Malaysia menerusi gol keempat pada minit ke-76. Malaysia cuba bangkit tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia terlepas peluang layak ke Piala Asia B-17 buat kali ketujuh dalam sejarah kejohanan.