Sabah FC menempah tempat ke perlawanan akhir Piala FA Malaysia apabila berjaya menumpaskan Selangor FC melalui penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.
Selangor yang menjalani hukuman beraksi tanpa penyokong menurunkan skuad terbaik dengan Faisal Halim, Alvin Fortes dan Chrigor Moraes menjadi harapan utama untuk meledak gol.
Manakala Sabah yang beraksi sebagai pasukan pelawat mempertaruhkan penyerang tinggi lampai, Ajdin Mujagic di bahagian depan dan Dominic Tan pula menjadi nadi kebal di bahagian pertahanan.
Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan lebih memfokuskan serangan ke atas bahagian sayap masing-masing.
Peluang keemasan pertama Sabah hadir seawal minit ke-6 melalui sepakan percuma namun sepakannya hanya singgah ke sisi gawang Selangor.
Chrigor Moraes hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-11 melalui tandukan tepatnya, tetapi Damien Lim tampil cemerlang untuk menepis percubaan tersebut.
Selepas asakan demi asakan, Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-32 menerusi sentuhan Faisal Halim. Pemain sayap lincah itu melakukan larian solo dari tengah padang, memperdaya beberapa pertahanan sebelum melepaskan rembatan padu yang menewaskan Damien Lim.
Tersentak dengan jaringan itu, Sabah kembali menggandakan usaha dengan beberapa hantaran silang berbahaya ke arah Ajdin Mujagic, namun mereka masih gagal menembusi benteng Selangor dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sabah terus menggandakan tekanan ke kubu Selangor dalam usaha memburu gol penyamaan bagi menghidupkan peluang ke final.
Sabah akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-47 menerusi pertahanan kanan kelahiran New Zealand, Dane Ingham yang melepaskan rembatan lencong kaki kiri sekali gus menjadikan kedudukan terikat 1-1.
Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila empat minit kemudian, Chrigor Moraes mengembalikan kelebihan buat Selangor. Penyerang Brazil itu bijak melepasi kawalan beberapa pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan deras yang menewaskan Damien Lim.
Ketinggalan satu gol, Sabah terus meningkatkan tekanan sehingga pada satu ketika hanya Rawilson Batuil kekal di bawah, manakala semua pemain lain naik membantu serangan.
Pada minit ke-62, Ajdin Mujagic mencetak nama sebagai penjaring selepas penyerang itu memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang Selangor untuk kembali mengikat keududukan menjadi 2-2.
Selepas jaringan penyamaan tersebut, Selangor dilihat lebih dahagakan jaringan dengan beberapa serangan telah diatur.
Faisal Halim sekali lagi menggembirakan kem Selangor apabila pada minit ke-73 pemain lincah itu mencetak jaringan ketiga Selangor melalui rembatan jarak dekat dan megubah kedudukan menjadi 3-2 memihak Selangor.
Ketika perlawanan berbaki 4 minit untuk ditamatkan, Sabah dihadiahkan sepakan penalti selepas Farhan Roslan dikasari Raimi Shamsul. Ajdin Mujagic yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut berjaya menyempurnakan untuk mengikat kedudukan menjadi 3-3.
Selepas dibolosi, Selangor sekali lagi menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mamadou Diarra dilayangkan kad merah gara-gara menyiku pemain Sabah.
Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan 3-3 dan agregat juga terikat 5-5 sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan 30 minit.
Bersambung di masa tambahan, Selangor yang beraksi dengan 10 pemain tetap menyerang seperti biasa dan berjaya meledak jaringan pada minit ke-94 namun jaringan dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.
Manakala Chrigor Moraes mempunyai peluang keemasan pada minit ke-100 apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan Damien Lim namun percubaannya sedikit tersasar. Aksi 15 minit pertama masa tambahan tamat dengan kedudukan kekal 3-3.
Bersambung babak kedua masa tambahan, Selangor membuat beberapa pertukaran dengan membawa masuk Willian Lira dan Aliff Izwan dalam usaha mencari jaringan.
Kedudukan walau bagaimanapun kekal sehingga tamat masa tambahan dan pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Damien Lim menjadi wira Sabah apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus melayakkan Sabah ke pentas final bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).