Fergus Tierney Dalam Dilema
MakanBola
Sabah FC

Penyerang muda Sabah FC, Fergus Tierney dalam dilema sama ada membantu pasukannya di pentas final Piala FA atau kempen Sukan SEA 2025.

Ini selepas Tierney membantu Sang Badak layak ke final kejohanan buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun.

Sabah mara menerusi penentuan sepakan penalti dengan menewaskan naib juara musim lalu, Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium MBPJ.

Meskipun begitu, penyerang berusia 22 tahun itu kini berdepan dilema sama ada kekal bersama Sabah atau menyertai skuad Malaysia B-23.

Ini kerana namanya menjadi sebahagian daripada senarai 25 pemain yang dipanggil Nafuzi Zain untuk menghadapi kempen Sukan SEA.

Seandainya bekas penyerang Nakhon Pathom United itu memilih Sang Badak, namanya berpotensi digugurkan daripada skuad Malaysia B-23.

Ini kerana aksi final Piala FA berlangsung pada 14 Disember, sehari sebelum aksi separuh akhir Sukan SEA.

Malah, kemungkinan itu juga diakui Nafuzi apabila ditanya tentang kemungkinan kehilangan Tierney atau Aliff Izwan Yuslan untuk temasya berprestij itu.

“Mungkin dari segi Liga Super misalnya. Pemain yang terlibat dalam separuh akhir Piala FA (dan final).

“Kita akan lihat situasi macam mana. Macam sebelum ini di (kelayakan Piala Asia), kita dapat pemain Liga Super pada saat akhir.

“Kita berharap kita dapat (mereka lebih) awal untuk bersama kita,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Apa yang menarik, Sabah bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final. Ini dilihat peluang Sang Badak menebus kekecewaan final edisi 1998.

Final tahun tersebut menyaksikan Johor muncul juara menerusi gol tunggal pemain import, Milan Blagojevic.