Nafuzi Zain Pantau Rapat Situasi Pemain Selangor
MakanBola
Malaysia NT

Ketua jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain perlu menunggu keadaan semasa pasukan Selangor sebelum mendapatkan khidmat tonggak dari skuad Gergasi Merah menjelang aksi pertama Sukan SEA.

Kem latihan kebangsaan bagi skuad B-23 sudah memasuki hari ke-7 sebagai salah satu persiapan buat pasukan muda Malaysia menghadapi Sukan SEA yang akan bermula tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, persiapan skuad kendalian Nafuzi Zain ini berdepan cabaran tersendiri bagi mengumpulkan pemain-pemain terbaik memandangkan saingan liga domestik masih berjalan.

Oleh itu, Nafuzi Zain memberi perkembangan terkini dengan beberapa pemain bakal terlepas aksi pembukaan Sukan SEA menentang Laos khususnya dari pasukan Sabah, Penang dan Terengganu.

Manakala, pemain-pemain Selangor pula kini tidak bersama pasukan selepas dipanggil pulang untuk terbang ke Filipina menjelang perlawanan Shopee Cup bertemu DH Cebu pada 3 Disember ini.

”Setakat ini kita tidak mendapat pelepasan daripada pasukan Sabah, Penang serta Terengganu (untuk aksi pertama) selain turut menunggu situasi Selangor (dengan) melihat keadaan semasa.”

”Sebelum ini, dua pemain iaitu Aliff Izwan serta Muhammad Abu Khalil masih bersama Selangor dan pagi ini (Isnin) dua lagi pemain sertai mereka untuk Shopee Cup ke Cebu.”

”Jadi, 4 pemain Selangor dan secara keseluruhan 7 pemain tidak bersama kita (hari ini),” ulas Nafuzi Zain ketika ditemui di sesi latihan pasukan pada Isnin.

“Kita akan lihat aksi Shopee Cup sebelum aksi pertama (vs Laos), berapa ramai pemain yang Selangor lepaskan untuk bersama terus di Bangkok dan harapnya semuanya dapat sertai kita.

Malaysia B-23 bakal membuka saingan Sukan SEA bertemu Laos pada 6 Disember ini sebelum turun berdepan Vietnam berselang 4 hari kemudian dengan kesemua aksi diadakan di Bangkok.