DH Cebu Idam 3 Mata Lawan Selangor
MakanBola
Cebu FC

Pengendali Dynamic Herb Cebu (DH Cebu), Glenn Ramos berharap dapat meraih tiga mata pertama dalam Shopee Cup bila bertemu Selangor FC.

Selepas dua perlawanan Kumpulan A, wakil Filipina itu masih belum meraih sebarang mata. Ini selepas The Gentle Giants tewas dalam dua perlawanan awal mereka.

Ramos mengakui aksi ini dilihat peluang buat DH Cebu meraih tiga mata pertama dalam kejohanan itu.

“Kita tahu aksi ini sangat penting kerana kita perlu mendapatkan tiga mata dalam kejohanan ini,” katanya seperti dilaporkan ASEAN United.

“Para pemain telah bekerja keras dari segi persediaan terutama dari segi mental. Mereka cukup bermotivasi tinggi dan kami fokus menambah baik gaya permainan kami juga.”

Ramos turut melihat aksi ini sebagai peluang kelab Filipina beradu kekuatan dengan pasukan ASEAN lain yang lebih kuat.

Ini kerana dengan cara itu, itu dapat membantu kelab Filipina seperti DH Cebu menjadi lebih baik.

“Kejohanan ini ialah satu cabaran besar buat kelab-kelab Filipina,” ujarnya.

“Bermain menentang pasukan-pasukan kuat dari negara lain membantu kami memahami kedudukan kami.

“Ini menjadi pendorong buat kami tampil lebih baik, lebih fokus kepada permainan dan menaikkan tahap kami sebagai kelab dan liga.”

DH Cebu dan Selangor bakal berentap di Stadium Memorial Rizal pada 3 Disember ini.