Arif Aiman: Alhamdulillah, Semua Berjalan Lancar
MakanBola
Thread/@ariifaiman42

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi berkongsi keadaan semasa di luar negara untuk menjalani rawatan.

Semua sedia maklum dengan kecederaan yang menimpa Arif Aiman ketika bersama pasukan Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal beberapa minggu lalu.

Kecederaan yang dialami oleh bintang berusia 23 tahun ini menyaksikan beliau telah diterbangkan ke luar negara bagi menerima rawatan susulan Ahad lalu ketika JDT berdepan Kuching City.

Perkembangan terkini dikongsikan oleh Arif Aiman menerusi sebuah hantaran di laman Thread yang menyaksikan beliau kelihatan terbaring seperti baru selesai menjalani rawatan di sana.

Malah, Pemain Paling Bernilai 4 musim berturut-turut itu juga memohon doa para peminat supaya beliau kembali lebih kuat selepas pulih dari kecederaan yang dialami ketika ini.

”Alhamdulillah semua berjalan dengn lancar, doakan saya semua cepat sembuh dan akan kembali lebih kuat isyaallah amin,” tulis Arif Aiman.

Ruangan komen menyaksikan sokongan penuh dan doa dari orang ramai agar Arif Aiman dapat pulih dengan segera dan kembali ke padang untuk bersama JDT dan skuad Harimau Malaya.