‘Orang Besi’ Sweden Berbelah Bahagi Wakili Thailand
MakanBola
AGF

Thailand dalam proses mendapatkan seorang pemain warisan dari Sweden untuk membantu pasukan itu layak ke Piala Asia 2027.

Ball Thai Stand melaporkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) ingin mendapatkan pemain pertahanan AGF, Eric Kahl.

Pemain berusia 24 tahun itu bukan saja mampu beraksi sebagai bek tengah. Malah, pemilik nama Eric Andre Kahl itu mampu beraksi di bek kiri atau sayap kiri sekiranya diperlukan.

Beliau dilaporkan sudah mengadakan perbincangan dengan Presiden FAT, Nualphan Lamsam dan jurulatih Thailand, Anthony Hudson. Perbincangan antara kedua-dua pihak disifatkan positif.

Meskipun begitu, graduan akademi AIK itu masih menyimpan hasrat untuk mewakili Sweden di peringkat antarabangsa.

Justeru, Kahl dilaporkan meminta sedikit masa sebelum menentukan sama ada mewakili Thailand di peringkat antarabangsa atau tidak. Keputusan dijangka diketahui pada Januari 2026.

Sekiranya Kahl bersetuju mewakili Thailand, beliau bakal menjadi pemain termahal pasukan itu. Semakan di Transfermarkt mendapati beliau kini bernilai €1.8 juta (RM8.7 juta).

Dua pemain termahal dalam pasukan Thailand ketika ini ialah Suphanat Mueanta dan Supachai Chaided. Kedua-duanya masing-masing bernilai €1.2 juta (RM5.8 juta) dan €1 juta (RM4.8 juta).

Sekiranya Kahl bersetuju mewakili Thailand, namanya boleh dipanggil untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac tahun hadapan.