EPL: Man City Cemas Sebelum Kalahkan Fulham
MakanBola
EPL

Man City dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan tipis 5-4 ke atas Fulham di Craven Cottage.

Aksi ini dilihat peluang buat peledak Norway, Erling Haaland mencipta rekod 100 gol terpantas dalam Liga Perdana Inggeris. Ini juga peluang buat City untuk terus menghambat pendahulu liga, Arsenal.

Haaland terus menjadi pilihan Pep Guardiola sebagai sandaran gol City. Penyerang Mexico, Raul Jimenez mengetuai jentera serangan The Cottagers.

Gol yang dicari Haaland muncul pada minit ke-17. Bekas penyerang Borussia Dortmund itu mudah menewaskan Bernd Leno untuk rekod peribadinya di pentas EPL.

20 minit selepas itu, giliran Tijjani Reijnders menggandakan kelebihan The Citizens. Bekas jeneral tengah AC Milan itu meledakkan gol keduanya bersama City musim ini.

Phil Foden meletakkan City makin selesa dengan gol ketiga pada minit ke-44. Emile Smith Rowe memastikan kedudukan 3-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, pengurus Fulham, Marco Silva cuba memperkemaskan jentera pasukan itu untuk mengurangkan defisit jaringan.

Malangnya, itu tidak berlaku. Foden terus menambah derita tuan rumah menerusi gol pada minit ke-48.

Rakan senegara Haaland, Sander Berge bernasib malang apabila menyumbat gol sendiri enam minit selepas itu.

Bekas bintang Arsenal, Alex Iwobi menyumbat gol kedua Fulham pada minit ke-57. Pemain gantian, Samuel Chukwueze mula membuatkan City cemas dengan menyumbat dua gol pada minit ke-72 dan 78.

Situasi ini memaksa pertahanan pelawat bekerja keras mempertahankan keputusan 5-4 sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan City hanya dipisahkan dua mata dengan Arsenal.

Fulham pula berada di tangga ke-15 liga dengan 17 mata. Sofascore memilih Foden sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.3.

Selepas ini, City akan menentang Sunderland pada 6 Disember. Fulham pula akan berentap dengan Crystal Palace untuk aksi setempat London pada 8 Disember.