Mesir membuka kempen FIFA Arab Cup 2025 dengan penuh kejutan apabila hampir tumpas kepada negara di ranking ke-24 Asia ketika ini.
Aksi pertama kumpulan C FIFA Arab Cup 2025 menyaksikan Mesir dijadualkan turun bertemu Kuwait yang kini menghuni ranking ke-135 dunia dan ke-24 Asia di Stadium Lusail, Doha Qatar.
Barisan terbaik sedia ada masih jadi sandaran Mesir dengan bekas pemain Arsenal, Mohamed Elneny mengemudi jentera tengah manakala Youssef Nasser ketuai kesebelasan utama Kuwait.
Tiada sebarang jaringan tercipta pada aksi babak pertama dengan Mesir miliki peluang terbaik untuk menyumbat gol pembukaan menerusi sepakan penalti namun telah gagal disudahkan.
Tendangan yang diambil oleh Amr El-Solia pada minit ke-38 itu sedikit tersasar dari sebelah kanan gawang Kuwait untuk kedudukan seri 0-0 kekal sehingga tamat 45 minit pertama perlawanan.
Jaringan pembukaan yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-64 hasil tandukan Fahad Al Hajeri berpunca dari sepakan sudut Mohamad Daham untuk Kuwait berada di hadapan 1-0.
Malang menimpa pasukan bimbingan Helio Sousa apabila penjaga gol Kuwait iaitu Suod Alhoushan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-83 selepas mengasari pemain Mesir di dalam kotak penalti.
Keputusan pengadil tersebut turut disertai bersama sepakan penalti yang dihadiahkan sekali lagi untuk Mesir, yang kali ini berjaya disempurnakan dengan cukup tenang dan sempurna.
Pemain gantian Mesir, Magdy Asha menyudahkan tendangan tersebut pada minit ke-88 untuk memberikan gol penyamaan buat skuad julukan The Pharaohs di penghujung perlawanan ini.
Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan seri 1-1, sekaligus menyaksikan Mesir dan Kuwait berjaya mengutip satu mata.
Perlawanan seterusnya bagi aksi kumpulan C FIFA Arab Cup 2025 akan menemukan Kuwait dan Jordan pada 6 Disember manakala Mesir pula bakal berdepan UAE keesokan harinya.