Selangor Ungguli Dua Rekod Pertemuan Lawan DH Cebu
MakanBola
Selangor FC

Rekod lalu dilihat memberi kelebihan kepada Selangor FC menjelang aksi ketiga Kumpulan A Shopee Cup menentang Dynamic Herb Cebu (DH Cebu).

Ini kerana Selangor pernah menewaskan wakil Filipina itu dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25.

Selepas meraih kemenangan tipis 1-0 di Stadium MBPJ pada 3 Oktober 2024, The Red Giants berpesta gol di Manila pada 5 Disember 2024.

The Gentle Giants yang ketika itu dibimbing Mustafa Ati Goksu tiada jawapan kepada penyudah tajam Selangor dalam aksi tersebut.

Yohandry Orozco, Nooa Laine dan Alvin Fortes masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Meskipun begitu, DH Cebu dilihat bukan lawan mudah untuk aksi kali ini. Ini kerana The Gentle Giants masih belum tewas sejak Oktober lalu.

Malah, kekalahan terakhir mereka berlaku dalam Shopee Cup ketika menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN FC). Anak buah Mano Polking mendapat tentangan sengit DH Cebu sebelum menang dengan keputusan 1-0.

Selain itu, jurulatih DH Cebu, Glenn Ramos juga mampu merencana pelan taktikal yang boleh memerangkap Selangor. Ini berdasarkan pengalaman pemain pertahanan, Charles Dabao III.

Dabao III bukan asing dengan Liga Super kerana pernah beraksi seketika untuk Melaka FC musim ini.

The Gentle Giants dan The Red Giants bakal berentap di Stadium Memorial Rizal pada 3 Disember ini.