Media Vietnam Hairan Dengan Tindakan Malaysia B-23
MakanBola
FA Malaysia

Media-media Vietnam mula berasa sangsi dengan persiapan Malaysia B-23 untuk kejohanan Sukan SEA di Thailand ini.

Acara bola sepak lelaki Sukan SEA telah pun membuka tirai semalam dengan persaingan di kumpulan C antara Vietnam, Laos dan juga Malaysia antara yang mencuri tumpuan ramai.

Aksi pertama kumpulan C pada Rabu menyaksikan Vietnam berjaya mengutip 3 mata selepas dipaksa berhempas pulas mengalahkan Laos 2-1 hasil dua jaringan Nguyen Dinh Bac.

Sementara Malaysia B-23 pula bakal membuka tirai saingan pada 6 Disember ini berdepan Laos sekali gus membuatkan pasukan bimbingan Nafuzi Zain ini berlepas sedikit lewat ke Thailand.

Keputusan untuk bertolak sedikit lewat ke Bangkok itu telah menjadi sorotan media Vietnam yang hairan setelah melihat ketiadaan Malaysia B-23 di sesi sidang media yang diadakan Selasa lalu.

Menurut laporan TheThao247 dari Vietnam, skuad Malaysia B-23 masih belum tiba di Bangkok setakat ini dan ketiadaan Nafuzi Zain di sidang media dilihat menyukarkan kem lawan untuk mengetahui perkembangan semasa pasukan negara.

Situasi ini dianggap jarang berlaku, oleh kerana kebanyakan negara sudah membuat persiapan awal, dan ini secara tidak langsung menimbulkan rasa ingin tahu pihak lawan terhadap Malaysia.

Laos dijadualkan menjadi lawan pertama Malaysia B-23 pada Sabtu, 6 Disember ini di Stadium Rajamangala dengan sepak mula perlawanan tepat jam 5 petang waktu tempatan.