Vietnam B-23 dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Laos dalam aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA 2025.
Skuad muda Vietnam yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Kim Sang-sik berharap dapat membuka kempen kumpulan dengan kemenangan.
Aksi ini juga disifatkan menarik kerana menemukan Sang-sik dan rakan senegara yang juga jurulatih Laos, Ha Hyeok-jun.
Khuat Van Khang memikul tugas sebagai kapten skuad Pahlawan Bintang Emas. Khampane Douangvilay mengemudi jentera tengah Laos.
Separuh masa pertama menyaksikan Vietnam berusaha memberi tekanan menerusi penyerang Ninh Binh, Nguyen Quoc Viet.
Hasilnya, ubi muda Pahlawan Bintang Emas mendahului pada minit ke-29 menerusi bintang muda Cong An Ha Noi FC (CAHN FC), Nguyen Dinh Bac.
Keceriaan kem Vietnam hanya bertahan selama empat minit. Khampane menyamakan kedudukan untuk Laos menerusi percubaan jarak dekat.
Vietnam berusaha mencari gol kedua tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Pahlawan Bintang Emas terus meningkatkan asakan ke atas kubu pertahanan Laos.
Vietnam akhirnya mendahului pada minit ke-60 menerusi Dinh Bac. Pada awalnya, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati kem Vietnam.
Selepas pengadil perlawanan, Rustam Lutfullin berbincang dengan pembantu pengadil, beliau akhirnya mengesahkan gol tersebut.
Vietnam berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Vietnam kini menerajui Kumpulan B dengan tiga mata.
Selepas ini, Laos akan berentap dengan skuad Malaysia B-23 pada 6 Disember ini di Stadium Rajamangala.