Puma Lancar Jersi Ke-3 Harimau Malaya Berwarna Biru
MakanBola
Puma Malaysia

Harimau Malaya hadir dengan jersi ke-3 berwarna biru hasil keluaran jenama terkemuka, Puma.

Pengumuman ini dilakukan menerusi suatu hantaran di laman media sosial Puma Malaysia yang menyaksikan para pemain Harimau Malaya tampil memperagakan jersi baharu tersebut.

Kelibat pemain seperti Arif Aiman, Dominic Tan, Corbin Ong dan Ubaidullah Samsul dipilih sebagai muka hadapan untuk mempromosikan jersi baharu yang bakal digunakan hingga tahun 2026.

”Kekal teguh dan bangkit bersama jersi ke-3 terbaharu Harimau Malaya,” umum Puma Malaysia dalam satu hantaran.

Menariknya, jersi ini hadir dengan warna biru sebagai warna asas disertai bersama elemen grafik merah dan putih yang memberikan identiti segar kepada jersi alternatif berkenaan.

Malah, jersi ini dipadankan bersama seluar putih dan stokin merah, sekali gus menyempurnakan gabungan warna yang berinspirasikan Jalur Gemilang yang tersergam indah di dada pemain.

Para peminat boleh mula mendapatkan jersi baharu Harimau Malaya ini secara fizikal di kedai barangan sukan Puma atau boleh membuat pembelian secara atas talian di laman web Puma.com.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menggunakan jersi berwarna biru adalah ketika musim 2018 hingga 2019 sebelum warna hitam dipilih sebagai warna alternatif rasmi.