Malaysia tidak memandang Laos B-23 seperti lawan dahulu, tegas dua pemain muda negara menjelang perlawanan kedua kumpulan C bola sepak lelaki Sukan SEA 2025.
Aksi kedua kumpulan C bakal menemukan Malaysia vs Laos di Bangkok dengan skuad muda negara akan turun buat kali pertama tatkala lawan mahu bangkit selepas tewas kepada Vietnam.
Meskipun di atas kertas Malaysia B-23 dilihat miliki peluang besar untuk meraih kemenangan, namun para pemain muda negara enggan memandang sebelah mata cabaran daripada Laos ini.
Anak didik Ha Hyeok Jun ini berhasil memberikan tentangan yang sengit kepada Vietnam dalam perlawanan pertama lalu sebelum tewas sambil disaksikan oleh pemain-pemain muda Malaysia.
Pertahanan Malaysia B-23, Aliff Ahmad akui bahawa pasukan Laos kini bukanlah lawan yang senang untuk dihadapi namun persediaan taktikal yang berkesan mampu membantu skuad negara meraih mata.
”Laos bukan lawan yang mudah, tetapi apa yang kami tonton aksi mereka bertemu Vietnam semalam (Rabu), kami (yakin) boleh lawan mereka dengan taktikal yang ada dan kami telah bersedia,” ujar Aliff Ahmad.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Danish Hakimi yang menggesa rakan sepasukan supaya tak mengambil mudah cabaran Laos pada Sabtu dan memberikan aksi terbaik jika diturunkan.
”Seperti yang kita tahu, Laos kini bukanlah seperti (pasukan) dahulu, apa-apa pun kita jangan ambil mudah,” kata Danish Hakimi ketika ditemui di KLIA sebelum berlepas ke Bangkok.
”Sesiapa pun yang diturunkan oleh jurulatih perlu berikan aksi terbaik di atas padang,” tambah pemain tengah JDT II itu lagi.
Aksi antara Malaysia vs Laos bakal berlangsung pada Sabtu, 6 Disember 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok dengan sepak mula perlawanan dijadualkan pada jam 5 petang waktu tempatan.