Amanat CEO JDT Buat Arif Aiman
MakanBola
Johor Southern Tigers

Amanat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Luis Garcia terhadap penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman mencuri tumpuan.

Skuad kendalian Xisco Munoz kehilangan khidmat tonggak berusia 23 tahun itu susulan kecederaan yang dialaminya ketika bersama pasukan kebangsaan.

Pemain sayap lincah itu terpaksa dikeluarkan lebih awal ketika aksi kelima Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia menentang Nepal pada 18 November lalu.

JDT segera memberikan rawatan terbaik kepada Arif Aiman apabila menghantar pemain itu untuk mendapatkan rawatan di luar negara.

Arif Aiman telah selamat menjalani pembedahan ‘hamstring’ dengan jayanya bersama doktor sukan terkemuka, Lempainen Lasse di Finland.

“Pakar ortopedik tersebut pernah merawat atlet dari pelbagai sukan termasuk pemain bola sepak seperti pemenang Ballon d’Or 2025 Ousmane Dembele, Reece James, Ruben Neves, Nuno Mendes, Alejandro Balde, Ronald Araujo dan ramai lagi,” ujar kenyataan Johor Southern Tigers.

Keadaan terkini Arif mendapat perhatian Luis Garcia selaku CEO kelab yang mendoakan kesejahteraan pemain ini.

“Kamu akan kembali tidak lama lagi,” ujar Luis Garcia pada hantaran sama.

JDT kini terus melebar kedudukan selaku pendahulu Liga Super 25-26 selepas masih tidak tewas dalam 10 aksi musim ini.