JDT berjaya mengikat pasukan Svay Rieng dengan keputusan 2-2 dalam aksi ke-3 saingan Shopee Cup musim ini di halaman lawan pada Khamis.
Pasukan tuan rumah, Svay Rieng menurunkan Vireak Dara di bahagian penjaga gol dan Kwame Peprah sebagai ayam tambatan pasukan tersebut.
Sementara itu, Harimau Selatan membariskan Andoni Zubiaurre di benteng terakhir dan Jairo da Silva mengemudi jentera serangan manakala Shahrul Saad menggalas lilitan kapten bagi aksi ini.
Svay Rieng melakukan percubaan awal pada minit pertama menerusi Nhean Sosidan namun gagal menepati sasaran gawang pasukan JDT.
Svay Rieng tampak menguasai 30 minit pertama aksi dengan melakukan beberapa percubaan dan serangan berbahaya ke kubu JDT tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol Harimau Selatan, Andoni Zubiaurre.
JDT turut melakukan percubaan berbahaya menerusi penyerang sensasi, Mohamadou Sumareh namun tidak menerjah jaring Svay Rieng.
Pasukan julukan The Blue Saber berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-30 menerusi rembatan kencang Cristian Roque dari kawasan luar kotak penalti sekaligus memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah.
Svay Rieng berjaya menambah gol kedua aksi pada minit ke-38 hasil gerakan cantik barisan hadapan Svay Rieng dan disudahkan oleh Nhean Sosidan.
JDT hampir mendekatkan defisit jaringan perlawanan pada minit ke-41 namun percubaan Corbin Ong tersasar jauh dari gawang pasukan The Blue Saber.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, PKR Svay Rieng.
Bersambung babak kedua aksi, JDT tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan selepas ketinggalan 2 gol dalam separuh masa pertama.
JDT dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya pada awal babak kedua menerusi Heberty Fernandes namun masih gagal menembusi gawang Svay Rieng.
Matthew Davies dimasukkan pada 20 minit terakhir aksi bagi menambah kekuatan pasukan JDT di bahagian pertahanan dan memastikan gawang Harimau Selatan tidak dibolosi lagi.
Memasuki minit ke 75′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Svay Rieng dengan 2 gol di hadapan.
Harimau Selatan terus menerus mengasak kubu pasukan tuan rumah, Svay Rieng pada 10 minit terakhir masa sebenar aksi namun tiada jaringan dapat dihasilkan oleh pemain-pemain JDT.
Memasuki masa kecederaan separuh masa kedua, Shane Lowry berjaya memecahkan kebuntuan pasukan JDT apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-91.
Corbin Ong berjaya menambah gol kedua JDT pada minit ke-96 sekaligus berjaya menyamakan kedudukan kembali dalam aksi ini.
Aksi tamat dengan keputusan terikat 2-2 bagi kedua-dua pasukan dalam aksi ke-3 saingan Shopee Cup musim ini di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja.