Manchester United terlepas peluang berada dalam kelompok lima pasukan teratas EPL apabila diikat 1-1 dengan West Ham United.
Selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace, United berharap dapat meneruskan rentak kemenangan di Old Trafford. West Ham pula mahu bangkit selepas tewas 2-0 kepada Liverpool.
Bekas pemain pertahanan The Red Devils, Aaron Wan-Bissaka mengisi slot bek kanan pelawat. Bruno Fernandes terus menjadi nadi kreatif jurulatih United, Ruben Amorim.
Separuh masa pertama menyaksikan United mula mengenakan tekanan ke atas The Hammers menerusi gandingan Bryan Mbeumo, Joshua Zirkzee dan Matheus Cunha.
The Red Devils kurang berpuas hati apabila dinafikan dua penalti dalam 10 minit pertama oleh pengadil, Andrew Kitchen.
Mbeumo hampir membuka tirai jaringan buat United pada minit ke-24. Malangnya, rembatan lencong bekas bintang Brentford itu dinafikan penjaga gol Perancis, Alphonse Areola.
Lima minit kemudian, giliran Zirkzee pula digagalkan barisan pertahanan West Ham. Percubaan penyerang Belanda itu segera dikeluarkan Wan-Bissaka sebelum melintasi garisan gol.
Kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Amorim membuat satu pertukaran dengan memasukkan Leny Yoro sebagai pengganti Ayden Heaven.
United akhirnya mendahului pada minit ke-59 menerusi Diogo Dalot. Rembatan jarak jauh Casemiro terkena Mateus Fernandes sebelum bola pantas disudahkan pemain pertahanan Portugal itu.
Tersentak, West Ham mula meningkatkan asakan untuk memburu gol penyamaan. Gol yang dicari hadir pada minit ke-84.
Pemain Maghribi, Noussair Mazraoui pada awalnya berjaya mengeluarkan bola tandukan kapten pelawat, Jarrod Bowen. Walau bagaimanapun, itu tidak cukup untuk menghalang Songoutou Magassa menyumbat gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan United jatuh ke tangga kelapan dengan 22 mata.
West Ham pula kekal di tangga ke-18 dengan 12 mata. Kecemerlangan Wan-Bissaka mengemudi pertahanan pelawat diiktiraf Sofascore dengan markah 8.6.
Selepas ini, United akan turun menentang Wolves pada 9 Disember. The Hammers pula akan turun menentang Brighton pada 7 Disember.