Pengendali Svay Rieng FC, Matt McConkey gembira melihat anak buahnya membuktikan kemampuan mereka bila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Meskipun berstatus pasukan bukan pilihan, Svay Rieng membuktikan keupayaan mereka dengan mendahului JDT 2-0 pada separuh masa pertama.
Cristian Roque dan Nhean Sosidan masing-masing mencetak nama untuk pasukan Kemboja itu. JDT kemudiannya bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi Shane Lowry dan Corbin Ong.
McConkey menyifatkan walaupun mereka hanya meraih keputusan seri, ini cukup sebagai amaran buat pasukan lain untuk tidak memandang rendah Svay Rieng.
“Saya fikir kita tunjukkan bola sepak kita dengan semangat kita. Mereka (JDT) membuat banyak perubahan, ia boleh difahami kerana mereka ada jadual padat termasuk Liga Juara-Juara (AFC Elit (ACLE)).
“Ini mungkin bukan pasukan terkuat Johor. Saya fikir sudah pasti mana-mana pasukan yang menentang kita pada masa akan datang tidak akan memandang rendah kita lagi,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Svay Rieng di tangga ketiga Kumpulan B Shopee Cup dengan empat mata, tiga mata di belakang JDT sebagai pendahulu kumpulan.
Ini bukan kali pertama kelab Malaysia menjadi mangsa Svay Rieng. Musim lalu, Terengganu FC menjadi mangsa Svay Rieng dengan kemenangan mengejut 3-2.