Di sebalik gemerlap trofi, dominasi di lapangan dan ritma kemenangan yang seakan tidak pernah berhenti, wujud sebuah ekosistem yang jarang terlihat tetapi sentiasa bekerja tanpa kompromi iaitu falsafah kebajikan dan penjagaan perubatan pemain yang menjadi tunjang kekuatan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Di JDT, kesihatan bukan sekadar prosedur, ia adalah mandat. Tiada pemain dibiarkan mengharungi kecederaan seorang diri. Setiap isu kecergasan akan dilayan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebagai urusan strategik yang memerlukan ketelitian tertinggi. Setiap pemulihan dirancang seperti operasi ketenteraan, dan setiap pemain dipastikan berada di tangan terbaik tanpa sebarang kompromi.
Intervensi Tepat Pembedahan Arif Aiman
Kecederaan hamstring yang menimpa Arif Aiman menjadi satu lagi bukti bagaimana falsafah ini dizahirkan dalam tindakan. Bagi pemain yang identitinya terletak pada pecutan eksplosif dan kelincahan teknikal, kecederaan mempunyai potensi serta memberi ancaman kepada kesinambungan karier.
Atas pertimbangan saintifik ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail bersama Organisasi JDT mengambil langkah yang hanya dipraktikkan oleh kelab-kelab bertaraf global dengan menghantar Arif ke Finland, destinasi utama dunia untuk rawatan hamstring.
Di sana, beliau menjalani pembedahan bersama Dr. Lasse Lempainen, salah satu nama paling berpengaruh dalam ortopedik sukan moden. Reputasinya dibina melalui rekod cemerlang merawat atlet kelas dunia termasuk Ousmane Dembélé yang kemudian bergelar Ballon d’Or 2025, selain Ronald Araújo, Reece James, Ruben Neves, Nuno Mendes dan Alejandro Balde. Sentuhan klinikal Dr. Lempainen tidak hanya memulihkan, tetapi mengoptimumkan semula biomekanik atlet melalui pendekatan sains pergerakan yang amat terperinci.
Mengapa Finland?
Pusat rawatan di Finland bukan hospital dalam definisi biasa. Ia merupakan institut sains sukan yang menggabungkan teknologi analisis 3D, ujian neuromuskular, pemetaan daya serta simulasi pergerakan atlet secara menyeluruh. Setiap aspek pemulihan direkodkan, diukur dan disesuaikan mengikut profil biomekanik pemain.
Protokolnya dibina khusus untuk mengurangkan risiko kecederaan berulang ke tahap minimum sambil meningkatkan prestasi pasca-pemulihan secara signifikan. Kelajuan keberkesanan pemulihan, kadar kembali bermain (RTP) serta pendekatan rekonstruktif minimal-invasif menjadikan pusat ini dikenali sebagai Standard Emas Pembedahan Hamstring (The Gold Standard of Hamstring Surger).
Arif kini menjalani fasa rehabilitasi yang bukan hanya memulihkan kecederaan, tetapi meningkatkan kapasiti atletiknya melalui metodologi yang digunakan atlet elit Eropah.
Sejarah JDT Menghantar Pemain ke Pusat Perubatan Antarabangsa
Pembedahan Arif bukanlah episod terpencil. Ia adalah lanjutan budaya profesionalisme yang dibentuk oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail sejak awal transformasi kelab. Baginda menitahkan bahawa Organisasi JDT mesti konsisten menghantar pemain ke luar negara apabila keadaan memerlukan.
Prinsip Baginda mudah, jika rawatan terbaik berada di luar Malaysia, maka ke sanalah pemain JDT akan dihantar tanpa ragu, tanpa mengira kos.
Imbas kembali, kelab juga bekerjasama dengan pakar antarabangsa seperti Dr. Juan Manuel Boffa iaitu pakar sains sukan dan ortopedik yang mempunyai pengalaman luas bersama Barcelona dan Manchester City dan telah menjadi konsultan JDT sejak 2019.
Pemain-pemain JDT seperti Nathaniel Shio Hong Wan (Singapura), Matthew Davies (Jerman), S. Kunanlan, Syahmi Safari, Feroz Baharuddin, Nazmi Faiz, Syamer Kutty Abba, Ramadan Saifullah dan Syafiq Ahmad (Sepanyol) juga pernah dihantar ke luar negara untuk mendapatkan rawatan bertaraf dunia. Ini membuktikan satu perkara yang tidak boleh dipertikai, JDT beroperasi melangkaui standard global.
Arif Aiman, Akan Bangkit Sebagai Versi Lebih Kuat
Bagi Arif Aiman, pembedahan hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih penting. Pemulihan pasca-pembedahan bakal membentuk dirinya sebagai pemain yang lebih kukuh, lebih matang dan lebih stabil secara biomekanik. Proses rehabilitasi sehingga integrasi semula ke padang, semuanya mengikut protokol bertaraf dunia.
DYAM Tunku Mahkota Ismail sudah pasti memastikan proses ini tidak hanya menyembuhkan, tetapi meningkatkan kapasiti fizikal dan teknikal aset berharga Harimau Selatan itu untuk jangka masa panjang.
Akhir kata, apa yang dilalui Arif hari ini adalah refleksi budaya JDT secara keseluruhan. Di kelab ini, kecederaan bukanlah noktah. Ia adalah metamorfosis. Ia adalah ruang untuk memperkukuh apa yang pernah rapuh, membina semula apa yang pernah retak, dan kembali dengan kekuatan yang berlipat ganda.
Arif Aiman akan kembali.
Bukan sekadar pulih, tetapi berevolusi sebagai wajah baharu standard JDT.