Ketua jurulatih skuad Malaysia B-23, Nafuzi Zain menghadapi ujian hebat menjelang aksi pembukaan di Sukan SEA 2025.
Skuad Malaysia B-23 kini sudah pun tiba di Bangkok, Thailand setelah menjalani kem latihan pusat selama 10 hari bermula pada Selasa, 25 November lalu.
Pasukan muda negara kini memiliki masa kurang 24 jam sebelum bakal berdepan Laos pada Sabtu, 6 Disember 2025.
Harimau Malaya B-23 bagaimanapun menerima tamparan hebat selepas tidak dapat membawa barisan terbaik bagi aksi pertama.
Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain mengesahkan bahawa tiga pemain tidak dapat diturunkan pada aksi pertama iaitu Fergus Tierney, Aliff Izwan Yuslan dan Ubaidullah Shamsul.
“Tiga pemain ini tidak mendapat pelepasan kelab menjelang aksi pertama bertemu Laos, namun Ubai mungkin sertai pasukan berdepan Vietnam,” ujarnya Nafuzi pada sesi sidang media pra-perlawanan, semalam.
Situasi ini juga menyaksikan Malaysia B-23 hanya memiliki 19 pemain bersedia bagi aksi menentang Laos selain memburu kemenangan pada aksi pembukaan kumpulan.
Aksi Malaysia vs Laos dijadual berlangsung pada Sabtu, 6 Disember jam 5.00 petang di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand.