Skuad wanita Malaysia memberi tentangan sebelum tewas kepada Vietnam dalam aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA 2025.
Malaysia berharap dapat melakar kejutan ke atas Vietnam yang juga pasukan nombor satu Asia Tenggara. Vietnam pula memburu kemenangan bersesuaian dengan status mereka sebagai pasukan pilihan.
Nur Lyana Soberi menggalas tanggungjawab sebagai kapten Malayan Tigress. Penyerang berpengalaman Hanoi I Women, Pham Hai Yen menjadi sandaran gol Pahlawan Wanita Bintang Emas.
Hai Yen menceriakan kem Vietnam dengan membuka tirai jaringan seawal minit keempat. Tersentak, anak buah Joel Cornelli cuba memperkemaskan rentak permainan.
Malangnya, gawang Malaysia bocor buat kali kedua pada minit ke-22. Pemain tengah Thai Nguyen T&T, Nguyen Thi Bich Thuy mencetak nama sebagai penjaring.
Empat minit selepas itu, Hai Yen sekali lagi merobek gawang skuad negara. Ini disusuli Tran Thi Hai Linh yang mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-32.
Hasrat Hai Yen meraih hatrik gagal apabila tandukannya dinafikan Nur Ezza Ashikin Abdul Razak pada minit akhir babak pertama. Keputusan 4-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Vietnam terus meningkatkan asakan untuk memburu gol tambahan.
Pemain tengah Hanoi I Women, Thai Thi Thao terus melebarkan kelebihan Pahlawan Wanita Bintang Emas dengan dua gol pada minit ke-48 dan 58.
Beliau kemudiannya mencipta hatrik dengan menanduk bola melepasi Ezza Ashikin pada minit ke-77. Vietnam terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Vietnam menerajui Kumpulan B menerusi kelebihan jaringan. Skuad negara pula berada di tangga keempat.
Selepas ini, anak buah Cornelli akan menentang Myanmar pada 8 Disember ini. Myanmar membuka kempen kumpulan dengan kemenangan apabila menewaskan Filipina 2-1.