Bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard bakal meninggalkan arena bola sepak Korea Selatan.
Ini selepas kelabnya, FC Seoul memaklumkan Lingard memilih tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu.
Ini menjadikan aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Melbourne City pada 10 Disember ini sebagai aksi terakhir beliau bersama pasukan itu.
“Kelab berusaha menawarkan lanjutan kontrak kepada beliau tetapi Lingard merasakan ini masa tepat untuk memulakan cabaran baru dan menyatakan keazamannya untuk pergi ke fasa seterusnya.
“Sehubungan dengan itu, FC Seoul menerima keputusan beliau dengan rasa hormat dan penuh penghargaan atas segala usaha Lingard, yang berdedikasi kepada pasukan dalam tempoh dua tahun dan turut menggalas peranan sebagai kapten,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Lingard turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak termasuk FC Seoul sepanjang tempohnya bersama kelab itu.
“Tempoh saya di Korea Selatan amat menakjubkan – bola sepak, suasana dan semangat yang menyelubungi kelab ini sememangnya berkelas tinggi.
“Rasa sayang, sokongan dan penghargaan yang anda tunjukkan kepada saya dalam tempoh dua tahun sangat mengagumkan.
“Saya akan sentiasa merasa bersyukur kerana diberi peluang beraksi untuk kelab hebat ini,” katanya di Instagram.
Lingard bukan satu-satunya figura bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada Korea Selatan.
Legenda Chelsea, Gus Poyet juga akan meninggalkan saingan K-League 1. Beliau memilih meninggalkan Jeonbuk Hyundai Motors meskipun membantu kelab itu bergelar juara liga musim 2025.
Langkah tersebut dibuat Poyet selepas pembantunya, Mauricio Taricco dikenakan penggantungan lima perlawanan atas dakwaan perkauman.