4 Wakil Malaysia Tercalon Pemain Terbaik Tahunan BWF
UltraSukan
Olympics Malaysia

Juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mengetuai empat calon Malaysia untuk Anugerah Pemain Terbaik Tahunan BWF 2025.

Ini selepas BWF mengumumkan senarai calon untuk merebut anugerah untuk acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu campuran, beregu lelaki dan beregu wanita.

Selain Tang Jie-Ee Wei, BWF turut menyenaraikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Pearly Tan-M. Thinaah.

Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Izzuddin bakal bersaing dengan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark) dan Kim Won-ho-Seo Seung-jae (Korea Selatan) untuk beregu lelaki terbaik.

Tang Jie-Ee Wei pula dicabar dua beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin. Wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran turut mengintai anugerah beregu campuran terbaik.

Senario sama turut berlaku untuk beregu wanita. Pearly-Thinaah bakal dicabar dua beregu Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee dan Kim Hye-jeong-Kong Hee-yong.

Juara dunia beregu wanita dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning melengkapkan cabaran untuk beregu wanita terbaik.

Perseorangan lelaki terbaik menyaksikan juara dunia, Shi Yu Qi dicabar bekas juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn. Selain Kunlavut, Yu Qi turut dicabar Anders Antonsen dan Chou Tien Chen.

Juara dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi bakal berdepan cabaran jaguh Korea Selatan, An Se-young. Dua wakil China, Chen Yu Fei dan Wang Zhi Yi melengkapkan cabaran untuk perseorangan wanita terbaik.

Pemenang anugerah ditentukan menerusi gabungan mata ranking yang dikumpul dari 1 December 2024 hingga 30 November 2025 dan undian kumpulan lima pakar.

Undian lima pakar ini diambil daripada saingan BWF World Tour Finals (WTF) 2024, BWF World Championships 2025, semua kejohanan BWF bertaraf Super 1000 dan Super 750.

Pemenang untuk semua kategori yang dinyatakan akan diumumkan dalam Majlis Makan Malam Gala BWF WTF 2025 di Hangzhou, China pada 15 Disember ini.