ARRC: Hafizh Syahrin Muncul Juara Di Buriram
UltraSukan
JDT Racing Team

Hafizh Syahrin Abdullah menebus kehampaan di Sepang dengan meraih kemenangan pada perlumbaan pertama di Buriram, Thailand.

Selepas hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 di Sepang, peluang Hafizh untuk meraih gelaran juara keseluruhan ASB1000 masih lagi terbuka.

Ini kerana beliau mengumpul 148 mata, empat mata di belakang pendahulu kejohanan dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapat.

Dua lagi pencabar, Keito Abe dan Zaqhwan Zaidi masing-masing mengumpul 141 mata. Justeru, kemenangan perlumbaan pertama di Buriram dilihat penting untuk meraih kelebihan dalam perlumbaan kedua.

Hafizh memulakan perlumbaan di kedudukan kelima. Abe, Zaqhwan dan Nakarin pula masing-masing memulakan perlumbaan di tempat pertama, kedua dan ketiga.

Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh mula mengejar pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar dan Zaqhwan. Selepas berjaya memintas Andi Farid, pelumba JDT Racing Team itu mula bersaing dengan Zaqhwan.

Pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu kemudiannya berundur bagi menyelesaikan penalti long lap yang diraih semasa pusingan kelima di Sepang. Ini membuka ruang buat Hafizh menduduki tempat ketiga.

Bekas pelumba MotoGP itu mula memberi tekanan kepada Abe sebelum memintasnya pada pusingan kedua. Hafizh kemudiannya memintas Nakarin semasa pusingan kelima.

Pelumba Thailand yang mewakili Honda Racing Thailand itu terus memberi tentangan kepada beliau sebelum kembali di hadapan pada pusingan kesembilan.

Hafizh kemudiannya dipintas Andi Farid sebelum merampas semula tempat kedua pada pusingan ke-10. Pelumba JDT Racing Team itu kemudiannya memintas Nakarin untuk bergelar juara perlumbaan pertama.

Keputusan ini menyaksikan Hafizh kini menerajui kedudukan keseluruhan ASB1000 dengan 173 mata. Ini meletakkan beliau sebagai pilihan untuk perlumbaan kedua pada 7 Disember.

Seandainya Hafizh berjaya meraih gelaran juara dalam perlumbaan itu, maka beliau membawa gelaran juara pertama buat JDT Racing Team.