Malaysia berjaya bangkit membenam cabaran Laos dengan keputusan 4-1 dalam aksi pembukaan sukan SEA Harimau Muda di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Malaysia membariskan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir dan bintang sensasi KL City, Haqimi Azim mengemudi jentera serangan manakala Aysar Hadi menggalas lilitan kapten pasukan.
Sementara itu, Laos menurunkan Kop Lokphathip di posisi penjaga gol dan Somwang Choummaly sebagai ayam tambatan.
Pasukan julukan Tanah Berjuta Gajah tersebut berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke -4 menerusi pemain pertahanan, Bounpheng Xaisombut selepas menerima hantaran cantik Phouttavong Sangvilay.
Harimau Muda tampak tersentak dengan jaringan tersebut dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Laos menerusi Haqimi Azim dan Haykal Danish bagi mengucar kacirkan pihak lawan.
Memasuki minit ke-30 kedudukan masih didahului oleh pasukan Laos meskipun Malaysia memberikan asakan bertubi-tubi ke kubu lawan.
Pemain sensasi Selangor, Haykal Danish berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-33 selepas kesilapan pemain lawan untuk mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti sekaligus memberikan kelebihan buat pasukan negara.
Moses Raj dilayangkan kad kuning aksi pada minit ke-43 selepas mengasari pihak lawan ketika serangan balas dilancarkan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua perlawanan, Malaysia tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pendahuluan aksi.
Aiman Hakimi melepaskan satu rembatan jauh kencang pada minit ke-47 namun gagal menepati sasaran gawang Laos.
Chanthavixay turut melakukan satu percubaan jarak jauh pada minit ke-50 namun berjaya ditepis oleh penjaga gol Malaysia, Zulhilmi Sharani.
Haqimi Azim berjaya menambah gol kedua Harimau Muda pada minit ke-59 hasil kesilapan pemain-pemain Laos di kawasan kotak penalti sendiri.
Pemain muda Selangor, Moses Raj turut menambah luka pasukan Laos apabila menjaringkan gol ketiga Harimau Muda pada minit ke-62 hasil hantaran cantik sepakan percuma oleh Danish Hakimi.
Muhammad Abu Khalil melakukan tandukan bebas dalam kawasan kotak penalti pasukan Laos pada minit ke-83 namun percubaan tersebut tersasar jauh.
Laos terpaksa akur apabila kehilangan khidmat kapten pasukan, Phetdavanh Somsanid apabila dilayangkan kad kuning kedua aksi pada minit ke-85.
Muhammad Abu Khalil berjaya meledak gol ke-4 aksi pada minit ke-90 menerusi jaringan lambung mudah ke dalam gawang Laos sekaligus memastikan 3 mata penuh Malaysia.
Aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand tamat dengan keputusan 4-1 memihak kepada pasukan Malaysia.