Suka & Duka Nafuzi Zain Selepas Malaysia Atasi Laos
MakanBola
Malaysia NT

Suka & duka ketua jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain selepas kemenangan Harimau Muda ke atas Laos pada Sabtu dalam aksi pembukaan sukan SEA 2025.

Malaysia berhasil bangkit membenam cabaran pasukan Laos selepas ketinggalan satu gol pada awal minit babak pertama aksi dengan keputusan 4-1.

Harimau Muda hadir ke temasya sukan SEA tahun ini seramai 19 pemain selepas 3 pemain dalam senarai akhir tidak mendapat pelepasan dari kelab masing-masing.

Pemain-pemain tersebut ialah pertahanan kental Terengganu, Ubaidullah, Fergus Tierney dan Aliff Izwan. Ubaidullah Shamsul bakal menyertai Malaysia B-23 selepas aksi pembukaan menentang Laos.

Bintang Sabah, Fergus Tierney akan mengikut serta pasukan Harimau Muda sekiranya layak ke pusingan separuh akhir sukan SEA dan status pemain Selangor, Aliff Izwan masih dalam perbincangan bersama kelab tersebut.

Menurut Nafuzi Zain, perlawanan menentang Laos bukan mudah dan beliau sangat berpuas hati apabila Harimau Muda berjaya bangkit selepas ketinggalan satu gol.

“Ia bukan perlawanan yang mudah. Seperti yang anda lihat pada permulaan permainan, kami ketinggalan 1-0, dan itu memberikan tekanan kepada pasukan. Namun, kami tidak putus asa. Kami terus berjuang, dan akhirnya memperoleh kemenangan 4-1. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan para pemain.”

Tambah beliau, Harimau Muda kehilangan khidmat beberapa tonggak utama sebelum aksi bertemu Laos namun Nafuzi Zain tetap mempercayai pemain-pemain yang dipanggil.

“Untuk perlawanan ini, kami datang tanpa skuad penuh. Kami hanya ada 18 pemain hari ini. Empat pemain tidak dapat hadir termasuk pemain yang tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing dalam Liga Super.”

“Seorang lagi pemain mengalami masalah kesihatan pagi tadi. Ada pemain yang baru tiba selepas bermain di Liga Super malam sebelumnya. Walaupun begitu, saya percaya penuh terhadap semua pemain saya,” kata Nafuzi Zain ketika sidang media selepas perlawanan menentang Laos.

Ketika ini, Malaysia mendahului kumpulan B dengan 3 mata selepas aksi pertama manakala Vietnam berada di tangga kedua meskipun berkongsi mata yang sama.

Perbezaan dua jaringan menjadi pemisah antara Harimau Muda dan Vietnam ketika ini selepas pasukan kendalian, Kim Sang-sik hanya menang 2-1 ke atas Laos pada perlawanan pertama lalu.