Terengganu FC mengambil keputusan membenarkan Yann Mabella meneruskan proses pemulihannya di Perancis.
Keputusan itu diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka. Keputusan dibuat berdasarkan persetujuan bersama Mabella dan pengurusan Terengganu.
“Hasil pemerhatian serta laporan perubatan yang diterima, Mabella disahkan mengalami kecederaan meniscus dan Chronic Medial Collateral Ligament Injury (MCL), yang memerlukan rawatan khusus serta pemantauan rapi daripada pakar ortopedik.
“Mabella telah bersetuju dengan semua syarat yang terkandung dalam dokumen perundangan berkaitan persetujuan bersama tersebut.
“Berdasarkan penilaian serta keperluan rawatan khusus itu, pihak kelab membenarkan beliau untuk kembali ke Perancis bagi mendapatkan rawatan serta pemantauan daripada doktor pakar di sana,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Terengganu turut memaklumkan Mabella akan berada di Perancis untuk tempoh pemulihan sehingga 31 Januari 2026.
Setelah itu, beliau akan kembali melapor diri pada 1 Februari 2026 untuk penilaian susulan bersama pasukan perubatan Peteh.
“Pihak kelab menghormati keperluan pemain untuk menerima rawatan terbaik demi memastikan beliau pulih sepenuhnya dan kembali bersedia untuk beraksi pada tahap optimum.
“Terengganu FC menyeru seluruh penyokong untuk sama-sama mendoakan agar Yann Kevin Mabella diberikan kesembuhan yang cepat dan dipermudahkan segala urusan pemulihannya,” ujarnya.
Mabella merekodkan lapan gol dan dua bantuan gol dalam 10 penampilan bersama Terengganu musim ini.