Fadi Awad Tuduh Jurulatih Sabah Bersikap Rasis
MakanBola
PDRMFC/SFC

Pemain import PDRM FC, Fadi Awad meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan jurulatih Sabah, Jean-Paul de Marigny semasa perlawanan Liga Super pada Sabtu.

Dakwaan ini dibuat oleh Fadi Awad menerusi suatu hantaran di laman Instastory yang mengatakan bahawa Sabah adalah lawan yang dihormati setiap kali mereka bertemu dalam aksi Liga Malaysia.

Rasa hormat itu bagaimanapun hilang akibat tindakan ketua jurulatih Sabah, Jean Paul de-Marigny yang dikatakan telah menggunakan bahasa kurang sopan terhadapnya di hadapan orang ramai.

”Setiap kali kami beraksi menentang Sabah, sama ada di gelanggang sendiri atau tempat lawan, sentiasa ada rasa hormat antara kedua-dua pasukan.”

“Walau bagaimanapun hari ini, ketua jurulatih mereka (Jean Paul de-Marigny) telah menunjukkan rasa tak menghormati saya di hadapan semua orang, menggunakan bahasa yang tidak sesuai dan tidak mencerminkan nilai Sabah FC.”

Malah, pemain kebangsaan Jordan itu berharap supaya Jean Paul de-Marigny memahami bahawa perbuatannya itu hanya mencemarkan imej Sabah FC yang selama ini dihormatinya.

“Saya benar-benar berharap beliau sedar bahawa Sabah itu lebih besar daripada mana-mana individu, dan kelab itu telah pun meraih hormat ramai pihak termasuk diri saya,” luah Fadi Awad.

Di akhir kenyataan, Fadi Awad sempat menegaskan sebarang sikap ataupun perlakuan berunsur perkauman tak sepatutnya wujud dan dianggap suatu kebodohan sekiranya dilakukan.

“Bersikap rasis adalah satu kebodohan,” tegas beliau di akhir kenyataan.

Hantaran tersebut turut diulang siar di laman Instagram rasmi PDRM tak lama kemudian sekaligus menjadikan tuduhan oleh Fadi Awad ini makin tersebar luas tatkala menanti penjelasan Jean Paul de-Marigny.

Instastory Fadi Awad Fadi Awad Tuduh Jurulatih Sabah Bersikap Rasis
Instagram Story PDRM FC

Pada perlawanan terbabit, Fadi Awad dan PDRM tumbang 1-4 kepada Sabah di Stadium MP Selayang dengan Darren Lok, Ajdin Mujagic, Mugiel Cifuentes dan Fergus Tierney meledak gol buat pelawat.

Jaringan tunggal PDRM dicetak oleh pemain import dari Ivory Coast, Noel Agbre di minit ke-74 namun itu tak mampu untuk menghalang Sabah dari membawa balik 3 mata berharga ke Likas.