Pemain pertahanan berpengalaman Singapura, Safuwan Baharudin berpotensi kembali ke pangkuan Selangor FC.
Kemungkinan itu timbul selepas bek tengah berusia 34 tahun itu memuat naik video lampu nombor jersinya bersama Lion City Sailors (LCS) dipadamkan di Instagram Story.

Hal ini mencetuskan spekulasi dalam kalangan penyokong LCS tentang status Safuwan menjelang tetingkap perpindahan Januari. Salah seorang yang bersuara tentang hal itu ialah seorang penyokong bernama Ayhan.
“Safuwan kembali ke Selangor? Pemain pertahanan itu turut membuang LCS daripada biografi Instagram beliau juga,” katanya di X.
Sekiranya perkara ini benar, pengalaman beliau bakal ditagih Merah Kuning untuk memburu kelompok dua teratas liga untuk baki musim ini.
Sebelum ini, Safuwan menyertai LCS secara pinjaman selama semusim. Ini selepas khidmatnya tidak diperlukan jurulatih Selangor ketika itu, Katsuhito Kinoshi.
Safuwan merekodkan enam penampilan dalam semua kejohanan bersama LCS, Kali terakhir beliau beraksi bersama pasukan itu ialah aksi ACL2 menentang Bangkok United pada 23 Oktober lalu.