Ketibaan Shanghai Port ke laman Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) dibayangi rasa penuh suka dan duka.
Aksi ACLE minggu ke-6 menyaksikan perlawanan antara JDT vs Shanghai Port menjadi salah satu pertembungan tumpuan tatkala pasukan Harimau Selatan ingin bangkit dari kekalahan lalu.
Cabaran getir menanti JDT setelah Shanghai Port akan hadir dengan momentum positif selepas baru sahaja ditabalkan selaku juara Chinese Super League buat kali ke-4 baru-baru ini.
Kejuaraan yang dimenangi oleh Shanghai Port bersama ketua jurulatih, Kevin Muscat ini hadir setelah berhasil menewaskan Dalian Yingbo dalam perlawanan terakhir pada 22 November lalu.
Kisah kejuaraan manis di peringkat domestik yang diraih oleh Shanghai Port tersebut bagaimanapun dibayangi prestasi tak menentu dalam aksi ACLE selepas menempuh 5 perlawanan.
4 kekalahan dan satu keputusan seri yang telah dicatat oleh Shanghai Port sebelum ini meletakkan The Red Eagles ini di tangga tercorot carta ACLE zon Timur dengan mengutip satu mata.
Manakala JDT pula berada di tangga ke-7 setelah 5 aksi hasil dua kemenangan, sekali seri dan dua kekalahan termasuklah ketika tumpas 2-0 kepada Melbourne City dalam perlawanan terakhir.
Aksi JDT vs Shanghai Port akan berlangsung pada Selasa, 9 Disember di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula jam 8.15 malam seperti yang telah dijadualkan.