Alasan Kelantan RW Lepaskan Bekas Pemain Manchester United
MakanBola
Kelantan Red Warriors FC

Pengurusan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mengambil keputusan untuk melepaskan bekas pemain Manchester United, Otis Khan.

Keputusan itu dibuat secara persetujuan bersama antara Otis dan pengurusan Kelantan RW. Pengumuman keputusan itu dibuat kelab pada 7 Disember lalu.

Kelantan RW memaklumkan keputusan ini diambil bukan saja untuk memperkasa posisi kritikal pasukan itu dengan tonggak import baharu.

Malah, pasukan Pantai Timur itu memiliki ramai pemain berbakat yang boleh mengisi posisi bekas pemain Oldham Athletic itu.

“Perpisahan ini berikutan perbincangan menyeluruh pihak pengurusan kelab untuk memperkasakan pasukan sempena pintu perpindahan kedua Liga Malaysia yang akan dibuka pada Januari tahun hadapan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Dalam masa yang sama, pihak kejurulatihan juga memberi cadangan untuk mendapatkan pemain import baharu untuk memperkuatkan lagi setiap posisi Kelantan Red Warrior FC.

“Ini berikutan keperluan posisi semasa Otis Khan telah memiliki pemain tempatan yang turut tidak kurang hebatnya menyebabkan pihak kelab dan kejurulatihan terpaksa mengambil keputusan berat ini untuk berpisah dengan beliau.”

Meskipun jodoh Otis bersama Kelantan RW tidak berpanjangan, pengurusan kelab menyatakan penghargaan atas usaha beliau dalam saingan Liga A1.

“Pihak Kelantan Red Warrior FC ingin merakamkan ucapan terima kasih serta selamat maju jaya dalam karier bola sepak selepas ini kepada Otis Khan atas segala khidmatnya sejak dibawa masuk pada awal musim tempoh hari,” ujarnya.

Keputusan ini menyaksikan Emmanuel Mbarga menjadi satu-satunya tonggak import yang bersama Kelantan RW.

Adik kepada penyerang Kemboja, Privat Mbarga itu kini berkongsi status penjaring terbanyak Liga A1 dengan Abdul Rahman Daud. Mbarga dan Rahman masing-masing mencetak 13 gol.