Pengendali Shanghai Port, Kevin Muscat mengakui isu kecederaan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan itu menjelang aksi ACLE menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Isu kecederaan bukan sekali memeningkan jurulatih Australia itu di pentas ACLE. Ini terbukti dalam aksi ACLE menentang FC Seoul pada 25 November lalu.
Aksi tersebut menyaksikan ramai tonggak termasuk tonggak import, Leonardo dan Gabriel terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Selain itu, Muscat juga terpaksa mengeluarkan Oscar Melendo pada babak kedua juga akibat kecederaan. Aksi tersebut berkesudahan dengan kekalahan 3-1 di tangan FC Seoul.
Muscat mengakui isu kecederaan sedikit sebanyak menjejaskan perancangan taktikal beliau apabila berdepan Harimau Selatan pada 13 Disember ini.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, meskipun kita memiliki tempoh persiapan yang lebih panjang untuk perlawanan ini, bilangan pemain yang ada tidak banyak (akibat kecederaan),” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Meskipun berdepan kehilangan ramai tonggak, Muscat tetap mahu Shanghai beraksi dengan agresif. Ini kerana inilah kunci yang diperlukan jika mereka mahu meraih kemenangan.
“Berdepan perlawanan sebegini, perkara pertama ialah terus bermain dengan agresif seperti mana yang kita lakukan dalam saingan domestik,” ujarnya.
“Kita bermain dengan agresif tidak kira sama ada bermain dengan atau tanpa bola. Kita juga perlu menggunakan peluang untuk mendominasi JDT dan harapnya menjadikan aksi ini seronok ditonton.”
Shanghai berharap dapat meraih kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Ini kerana pasukan itu berada di tangga tercorot Liga Timur ACLE dengan satu mata.