Manchester United kembali berada dalam kelompok enam teratas liga apabila membelasah Wolverhampton Wanderers 4-1.
Selepas sekadar seri 1-1 dengan West Ham United, anak buah Ruben Amorim berharap dapat bangkit mencatat kemenangan dengan pasukan tercorot liga.
Gandingan Bryan Mbeumo, Mason Mount dan Matheus Cunha terus menjadi sandaran gol The Red Devils. Jorgen Strand Larsen mengetuai jentera serangan Wolves.
Separuh masa pertama menyaksikan United berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Mbeumo, Mount dan Cunha.
Kem pelawat di Molineux ceria apabila kapten, Bruno Fernandes membuka tirai jaringan pada minit ke-26. Fernandes menyudahkan hantaran Cunha yang menewaskan Sam Johnstone.
Tiga minit selepas itu, Cunha hampir mencetak nama sebagai penjaring. Malangnya, percubaan bekas penyerang Wolves itu berjaya dikeluarkan Toti Gomes daripada melintasi garisan gol.
Wolves memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat separuh masa menerusi gol Jean-Ricner Bellegarde.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Amorim tampil lebih kemas menentang pasukan tuan rumah yang dibimbing Rob Edwards.
Mbeumo kembali meletakkan United di hadapan pada minit ke-51. Selepas mengumpan Johnstone keluar dari gawang, Diogo Dalot membuat hantaran yang mudah disudahkan bekas penyerang Brentford itu.
Wolves makin derita apabila Mount meledakkan gol ketiga pelawat 11 minit selepas itu. Ini gol ketiga beliau bersama United musim ini.
The Red Devils kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-80. Ini selepas VAR mengesan bola Amad Diallo terkena tangan Yerson Mosquera.
Fernandes tenang menewaskan Johnstone untuk meletakkan United mendahului dengan keputusan 4-1. Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan United kini terikat 25 mata dengan juara dunia, Chelsea yang menduduki tangga kelima. Wolves pula terus terperosok di tangga tercorot dengan dua mata.
Sofascore memilih Fernandes sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.3. Beliau jauh meninggalkan Mount yang meraih 8.1 mata.
Selepas ini, United akan melayan kunjungan Bournemouth di Old Trafford pada 16 Disember. Wolves pula bertandang ke Stadium Emirates menentang Arsenal pada 14 Disember.