Situasi penyerang berbisa Liverpool, Mo Salah semakin meruncing.
Sky Sports melaporkan penyerang Mesir itu tidak menjadi sebahagian daripada kontinjen Liverpool yang akan turun menentang Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Meskipun begitu, Salah tidak akan berdepan tindakan disiplin oleh kelab susulan temu bual kontroversinya baru-baru ini.
Bekas penyerang Fiorentina itu membidas pengurus The Reds, Arne Slot dan kelab berkenaan situasinya yang memanaskan bangku simpanan.
Malah, Salah turut memberi bayangan aksi menentang Brighton sebagai aksi terakhirnya sebagai pemain Liverpool.
Temu bual itu dibuat selepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United di Elland Road. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan The Reds diikat 3-3 oleh The Whites.
Apabila ditanya tentang situasi Salah, Slot memaklumkan beliau tidak tahu sama ada penyerang Mesir itu akan kembali beraksi atau tidak.
“Reaksi kita amat jelas, Salah tidak ada di sini (untuk aksi menentang Inter Milan). Dan saya tak tahu sama ada beliau akan kembali bermain untuk Liverpool atau tidak,” katanya.
Seandainya Salah meninggalkan Liverpool, ini dijangka menimbulkan minat dari Arab Saudi. Ini kerana kelab-kelab Saudi Pro League (SPL) seperti Al-Hilal berminat mendapatkan beliau.