Kuching City Fokus Perkuat Dua Posisi
MakanBola
Kuching City FC

Dua posisi bakal menjadi fokus Kuching City menjelang tetingkap kedua perpindahan Liga Super pada Januari 2026.

Hal ini dinyatakan pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak apabila ditanya tentang perancangan pasukan itu apabila tetingkap perpindahan dibuka.

Aidil melihat penambahbaikan perlu dibuat lebih-lebih lagi dengan saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kita ada tiga posisi yang mana kita perlu ada pengganti lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang.

“Ini kerana pemain import kita sentiasa akan ada perkara yang memberi had kepada prestasi mereka. Ronald Ngah digantung, James Okwuosa cedera, kita tiada pengganti.

“Bergerak ke hadapan, dengan Piala Malaysia, kita mahu yang lebih baik. Jadi, kita cuba memperkuat pasukan dengan apa yang kita ada hari ini,” katanya seperti dilaporkan TVS.

Aidil mengenal pasti posisi pertahanan dan serangan sebagai posisi kritikal yang perlu diperkuatkan untuk baki kempen musim ini.

Pada masa sama, jurulatih Singapura itu berpandangan Kuching City akan berbelanja mengikut belanjawan yang ditetapkan untuk musim 2025/26.

“Dua posisi iaitu penyerang dan pertahanan memang kami akan isi dengan penggantinya,” ujarnya.

“Dari negara mana saya belum dapat dedahkan lagi, namun apa yang pasti adalah seorang daripada luar negara dan seorang lagi adalah tempatan.”

Kuching City meneruskan prestasi cemerlang dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Selain menduduki tangga ketiga liga, The Cats turut mara ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Kecemerlangan pasukan itu turut dibantu dengan prestasi baik rekrut baharu seperti Haziq Nadzli, Danial Asri, Ronald Ngah dan Scott Woods.