Bapa tiri pemain Malaysia B-23, Haqimi Azim Rosli meninggal dunia pada pagi Selasa.
Sebelum ini, penyerang KL City FC itu diuji dengan berita bapa tirinya, Shahrol Asikin Shariff dimasukkan ke hospital kerana masalah strok.
Kini, Haqimi memaklumkan bahawa Allahyarham telah kembali ke rahmatullah. Khabar duka itu dikongsikan beliau di Instagram Story.
“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa papa saya telah meninggal dunia pagi tadi. Pemergiannya sangat mengejutkan dan berat untuk kami sekeluarga terima, tetapi kami reda dengan ketentuan Allah.
“Saya mohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah papa. Semoga Allah mengampunkan dosanya, menerima segala amalnya, dan memberikan tempat yang indah buatnya di sisi-Nya.
“Doakan juga agar kami sekeluarga diberi ketabahan dan kekuatan melalui saat sukar ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua,” katanya.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan Haqimi diberi pelepasan oleh pengurusan Malaysia B-23 untuk menghadiri pengebumian Allahyarham.
“Qimi diberi pelepasan pulang ke tanah air bagi menghadiri pengebumian selepas solat Zohor,” katanya di X.
“Pada Sukan SEA 2009, Zaquan Adha turut pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan mata sebelum kembali ke Vientiane bantu skuad negara meraih emas. Moga dipermudahkan segala urusan.”
Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Lagong selepas solat Zohor.